Sunday, September 13, 2009

H1N1: Di antara Wabak dan Tarbiah!!!

Sejak akhir-akhir ini, warga dunia telah digegarkan dengan pandemik baru selepas dari selsema burung, H1N1 atau selsema babi telah mencemaskan segenap pelusuk dunia. Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian. Di Malaysia sendiri,wabak ini telah mengorbankan 74 nyawa (fakta ini betul sehingga 13/09/09). Ini belum dicatat bilangan pesakit yang disyaki dan disahkan positif.

Maka, kita dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti

  1. Menutup mulut ketika bersin dan batuk.
  2. Menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap setiap kali selepas batuk dan bersin.
  3. Memakai penutup mulut (Mask).
  4. Menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala influenza-like illness (ILI).
  5. Mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.
  6. Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak kecil ke tempat yang sesak.
  7. Kuarantin sendiri selama seminggu dirumah selepas pulang dari melawat negara-negara yang berisiko tinggi.

Selain itu berbagai lagi langkah-langkah yang berjaga-jaga yang dicadangkan. Gesaan ini mendapat sambutan baik sehingga dapat dilihat kesannya.Banyak sekolah ditutup atas faktor keselamatan untuk dikuarantin. Tidak kurang juga beberapa IPTA mengambil keputusan untuk mempercepatkan cuti pertengahan semester mereka. Segenap lapisan dilihat mula memakai mask. Sehingga pelajar darjah satu yang baru berumur 7 tahun merengek meminta dibelikan mask untuk dipakai ke sekolah dan berbagai-bagai lagi tindakan segera yang diambil.

Apa yang ingin dikongsi di sini ialah, saya lebih suka melihat wabak ini dari sudut yang jauh berbeza. Iaitu sebagai satu peringatan dan tarbiah dari Allah. Satu teguran yang halus tentang ketidakpatuhan umat Islam terhadap ajarannya.

  1. Berapa ramai dari kita yang terlepas pandang atau memandang enteng suruhan Nabi S.A.W untuk menutup mulut ketika menguap,batuk dan bersin. Begitu juga suruhan Nabi S.A.W mendoakan orang yang bersin. Nabi kita telah menjelaskan 1400 tahun dahulu bahawa bersin ini mengeluarkan penyakit di dalam tubuh badan kita, sebab itu kita dituntut memuji dan berterima kasih kepada Allah S.W.T dengan mengucapkan “Alhamdulillah”, dan ianya tidak terhenti di situ, di mana, orang yang berdekatan dengan orang yang bersin itu, dan dia mendengar ucapan “Alhamdulillah tersebut, maka adalah dituntut untuk mendoakan “Yarhamukallah-Semoga Kamu Dirahmati Allah” dan diteruskan lagi dengan adab yang cukup baik, iaitu,sebagai balasan kepada doa tadi, orang yang bersin tadi, diajar oleh Nabi S.A.W untuk membalas budi orang yang mendoakan kepadanya tadi dengan doa “Yahdina wa Yahdikumullahu Wa Yuslihu Ba lakum- Semoga Dia(Allah) memberi hidayah kepada kami dan juga memberi hidayah kepada kamu dan memperbaikkan keadaan kamu”

Betapa indah dan berbudi bahasanya ajaran Islam. Saling mendoakan kebaikan sesama muslim, berlaku komunikasi spontan yang indah dan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan, ia adalah pendinding kepada segala wabak dan penyakit.

  1. Adalah menjadi sunnah Nabi S.A.W untuk makan dengan tangan. Secara tidak langsung, amalan membasuh tangan sebelum dan selepas makan adalah amalan yang penting,mendapat perhatian malah mendapat ganjaran disisi Allah. Malah, disebabkan amalan ini, ada sebahagian yang lebih teliti dan menjaga amalan membasuh tangan lebih dari waktu makan, kerana mereka menjaga alat yang akan mereka gunakan untuk makan. Setiap kali tangan tercemar atau kotor, mereka tidak akan melengah-lengahkan untuk mencuci tangan. Jadi dapat dikatakan bahawa, membasuh tangan bukanlah amalan yang baru dalam Islam. Sebaliknya, umat Islam kini lebih gemar memakai sudu dan garfu. Dengan tidak sengaja, mereka terlepas pandang amalan membasuh tangan. Dan kita tahu yang alatan besi harus disteril untuk menghilangkan kuman. Bagaimanakah kita? Adalah lebih malang sekiranya kita sengaja makan menggunakan sudu dengan alasan “malas nak basuh tangan”, Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun.
  2. Apabila bermulanya wabak, rata-rata penduduk Malaysia mula memakai mask sehingga ada sesetengah klinik/farmasi kehabisan stok. Penerimaan masyarakat amat memberangsangkan di mana anda tidak perlu takut akan dipandang jelik/pelik kerana memakai mask. Berbanding seorang muslimah yang ingin menjaga kehormatan dirinya dan menjaga dirinya dari fitnah dengan memakai niqab/purdah (penutup muka). Mereka bukan sahaja dipandang jelik, malah Presiden Perancis mengharamkannya. Ini belum disebutkan perkara yang hampir sama berlaku di United Kingdom satu masa dahulu, Jerman, Turki dan lain-lain tempat lagi yang berjuang untuk mempertahankan pegangan agama mereka. Lebih malang di tanah air tercinta, negara majoriti umat Islam, warganegaranya bebas untuk mengamalkan ajaran agama, untuk menutup rambut pun menjadi keberatan, inikan sukarela untuk memakai niqab/purdah.
  3. Kuarantin bukan la istilah baru dalam Islam.Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila kamu mendengar ada wabak di satu kawasan, janganlah kamu memasukinya, dan apabila kamu mendengar wabak berlaku di satu kawasan, kamu pula ada di sana, janganlah kamu keluar dari kawasan itu untuk melarikan diri.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Banyak lagi pengajaran yang dapat diambil, tetapi cukuplah sekadar ini saya nukilkan, yang penting kita sama-sama bermuhasabah, betapa jauhnya kita dari mengamalkan Islam. Adakah cukup kita Islam pada nama sekaligus memandang enteng amalan-amalan yang diajar oleh UtusanNya. Oleh itu saya menyeru,sama-sama kita mengambil pengajaran dari pandemik ini. Ini bukan konspirasi, senjata biologi, ia adalah ujian, tarbiah dan peringatan bagi yang ingin berfikir. Jangan menuduh sesiapa,cukuplah dengan mengatakan, ini adalah ketidak caknaan saya dan umat Islam dalam memenuhi amalan-amalan Islam sehingga Allah mendatangkan fitnah dan ujian bagi member tarbiah dan teguran kepada umat Islam.

Allah S.W.T berfirman:

25. dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) Yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang Yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah Bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Surah Al-Anfaal:25

3 comments:

  1. tahniah atas permulaan langkah menulis blog..moga sama-sama beroleh manfaat..

    selamat pengantin baru dan selamat berpuasa

    ReplyDelete
  2. Salam..mengenai bersin...
    Saya pernah mendengar satu tazkirah oleh seorang ustaz di radio suatu ketika dulu..menyatakan, kalau kita mendengar orang bersin lebih dari 3X, kita juga disarankan untuk menyebut "syafakallah"...saya tak pasti apakah maksudnya..

    ReplyDelete
  3. Ya,betul. Maksudnya "Semoga kamu disembuhkan(syifa) Allah". Ini kerana,sekiranya seseorang bersin kali pertama,ia membuang penyakit,bersin kali kedua juga bersin membuang penyakit, tetapi sekiranya masuk kali ketiga(berturut-turut), dia sememangnya sedang sakit. Sebab itu kita diminta mendoakan syifa kepadanya. Wallahu a'lam

    ReplyDelete