Tuesday, September 15, 2009

Tips Qiamullail
Di sini, beberapa amalan yang berguna untuk diamalkan untuk menyusun aktiviti qiamullail:
1. Muhasabah
Ambik feel qiam dikeheningan malam dengan memuhasabah amalan-amalan kita. Masa inilah kita nak melatih perasaan Muraqobah (pengawasan Allah). Seolah-olah kita melihat Allah atau paling kurang merasakan Allah melihat kita. Koreksi diri, sudah banyakkah amalan baik kita? Akadah kita hambaNya yang mengikut segala yang disuruh dan meninggal ape yang dilarang? Istiqomahkah kita dalam membuat amalan baik? Bandingkan dengan amalan-amalan jahat dan tabiat buruk kita. Yang mana lebih memberati. Insafi kelemahan diri. Disinilah kita mula berkata-kata dengan Allah S.W.T. Mengadulah kelemahan diri. Mintalah kekuatan dari Yang Maha Perkasa. Luahkan segala kerunsingan yang terbuku dihati. Berdialoglah dengan Pencipta kita. Dialah Tuhan Yang Menyelesaikan segala masalah. Firman Allah: “dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)” Surah Al-Baqarah:186. Bermanjalah dengan Allah.

2. Solat
Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah RadiyAllahu Anha solat malam Nabi tidak lebih dari 11 rakaat. Ulama membahaskan bilangan rakaat dan solat apakah yang afdhal. Bukan niat penulis untuk memasukkan perbahasan yang panjang tersebut. Sebagai cadangan bagi para beginner, bolehlah mengamalkan susunan di bawah ini:

2 rakaat Sunat Taubat : Bayangkan kesalahan kita kepada Allah.
2 rakaat Sunat Tahajjud : Tanda hamba yang bersyukur.
2 rakaat Sunat Hajat : Mohonlah segala hajat dan keperluan kepada Allah.
2 rakaat Sunat Istikharah : Setiap hari kita pasti kena buat keputusan.
3 rakaat Sunat Witir : Penutup solat malam.
(Ini adalah sekadar cadangan,boleh diubah mengikut kesukaan dan keperluan.)

Selain dari itu,sekiranya mampu, solat tasbih. Seeolok-eloknya setiap malam,sekira tidak mampu, seminggu sekali, sekiranya tidak mampu, sebulan sekali, kalau tidak pun, setahun sekali, paling kurang, sekali seumur hidup. Namun, waktu paling afdhol bagi solat tasbih adalah antara azan dan iqamat solat zohor.

Tips : Panjangkan qiam. Baca Al-Quran ketika qiam. Banyak ayat Al-Quran dan hadith Nabi menggabungkan membaca Al-Quran dan solat malam. Baca ayat yang sudah dihafaz. Sekiranya sedikit saja yang dihafaz,boleh diulang-ulang. Nak tengok Al-Quran di dalam solat pun dibolehkan dengan menjaga pergerakan didalam solat. Nabi S.A.W pernah membaca 7 juzuk Al-Quran dalam satu rakaat. Dan solat malam Nabi, rukuk Nabi sama dengan qiam, I’tidal Nabi sama dengan rukuk tadi, sujud pun sama dengan I’tidal tadi, dalam lain perkataan, rukuk,I’tidal,sujud,duduk antara dua sujud dan tahiyat, sama kadarnya dengan qiam.


3. Doa
Senjata kepada mukmin. Pembeza antara umat Islam dengan umat lain. Kita ada keistimewaan kerana dapat memohon secara langsung kepada Raja Segala raja. Dan Allah telah berjanji yang Dia akan menerimanya. Sekiranya tidak ditunaikan didunia, diberi ganjaran yang kekal abadi diakhirat dan itu lebih baik. Sekiranya sesorang itu tahu betapa besarnya ganjaran diakhirat, dia lebih rela tidak ada satu doa pun yang diterima didunia. Jangan segan-segan untuk berdoa, paling kurang, luangkan lah 30 minit untuk berdoa.

Firman Allah:
“dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina.
Suran Ghaafir:60

Tips: Sebaik-baik doa ialah memohon Taufiq dan Hidayat dari Allah S.W.T kerana ia adalah hak mutlak Allah S.W.T. Nabi S.A.W sendiri tiada kuasa untuk member Taufiq dan Hidayat kepada sesiapa yang nabi kehendaki. Selain itu doa untuk hari akhirat yang kekal abadi. Manakala, untuk mendapatkan doa yang maqbul. Jangan lokek untuk doakan kebaikan kepada orang lain. Malah, dinasihatkan untuk dapat sesuatu hajat dengan segera dan maqbul, dinasihatkan, doakan kepada orang lain. Contoh, nak anak/adik-beradik kita dapat kecemerlangan dalam peperiksaan, doakan kecemerlangan kepada anak-anak orang lain, kerana apabila sesorang mendoakan sesuatu kebaikan kepada saudara dia tanpa pengetahuan saudaranya, Allah para malaikat akan mengaminkan dan mendoakan kepadanya kembali dengan ucapan, “dan kepadamu juga sebagaimana yang kamu doakan itu”. Doa kita yang penuh dengan dosa ini, belum tentu diterima, tetapi doa malaikat yang tiada dosa kepada kita, lebih mudah untuk diterima.

4. Zikir
Membasahi lidah dengan zikrullah,(zikir yang berbeza dari wirid-wirid, amalan dan bacaan yang biasa diamalkan). Bertasbih,bertakbir,bertahmid,bertahlil,selawat ke atas Junjungan, mahupun beristighfar. Boleh juga mengamalkan mana-mana zikir yang disebutkan kelebihannya didalam hadith. Mafhum hadith, perbezaan diantara orang yang mengingati Tuhannya dan yang tidak mengingati Tuhannya adalah umpama orang yang hidup dan orang yang mati. Orang yang mengingati Tuhannya hidup disisi Allah dan orang yang lalai dari mengingati tuhannya umpama orang yang mati disisi Allah.

Tips : Istighfar boleh diawalkan dan diakhirkan atau dibuat pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai mengikut keperluan,antaranya :
1. Selepas muhasabah.
2. Selepas solat sunat Taubat.
3. Pada waktu sahur. Firman Allah: “dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)” Surah az-Zariyaat:18
Tiada bilangan yang ditetapkan. Beristighfarlah sambil membayangkan kesalahan-kesalahan kita kepada Allah sehingga terasa sedak dan menyesal.

5. Membaca Al-Quran
Membaca Al-Quran dengan melihat mashaf. Digalakkan membaca dengan tadabbur. Hayati apa yang dibaca. Tunjuk tempat yang dibaca dengan jari. Berinteraksilah dengan Allah. Bayangkan seolah-olah Allah memberi nasihat kepada kita. Letakkan ape yang dibaca di atas bahu kita.

Firman Allah:
45. bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.
Surah Al-Ankabuut:45.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada penulis dan pembaca untuk mengamalkannya. Bukan sekadar dalam memburu Lailatul Qadar, malah setiap hari sehingga hari bertemu dengan Kekasih yang dirindui. Amin.

Sunday, September 13, 2009

H1N1: Di antara Wabak dan Tarbiah!!!

Sejak akhir-akhir ini, warga dunia telah digegarkan dengan pandemik baru selepas dari selsema burung, H1N1 atau selsema babi telah mencemaskan segenap pelusuk dunia. Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian. Di Malaysia sendiri,wabak ini telah mengorbankan 74 nyawa (fakta ini betul sehingga 13/09/09). Ini belum dicatat bilangan pesakit yang disyaki dan disahkan positif.

Maka, kita dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti

  1. Menutup mulut ketika bersin dan batuk.
  2. Menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan kerap setiap kali selepas batuk dan bersin.
  3. Memakai penutup mulut (Mask).
  4. Menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai gejala influenza-like illness (ILI).
  5. Mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.
  6. Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak kecil ke tempat yang sesak.
  7. Kuarantin sendiri selama seminggu dirumah selepas pulang dari melawat negara-negara yang berisiko tinggi.

Selain itu berbagai lagi langkah-langkah yang berjaga-jaga yang dicadangkan. Gesaan ini mendapat sambutan baik sehingga dapat dilihat kesannya.Banyak sekolah ditutup atas faktor keselamatan untuk dikuarantin. Tidak kurang juga beberapa IPTA mengambil keputusan untuk mempercepatkan cuti pertengahan semester mereka. Segenap lapisan dilihat mula memakai mask. Sehingga pelajar darjah satu yang baru berumur 7 tahun merengek meminta dibelikan mask untuk dipakai ke sekolah dan berbagai-bagai lagi tindakan segera yang diambil.

Apa yang ingin dikongsi di sini ialah, saya lebih suka melihat wabak ini dari sudut yang jauh berbeza. Iaitu sebagai satu peringatan dan tarbiah dari Allah. Satu teguran yang halus tentang ketidakpatuhan umat Islam terhadap ajarannya.

  1. Berapa ramai dari kita yang terlepas pandang atau memandang enteng suruhan Nabi S.A.W untuk menutup mulut ketika menguap,batuk dan bersin. Begitu juga suruhan Nabi S.A.W mendoakan orang yang bersin. Nabi kita telah menjelaskan 1400 tahun dahulu bahawa bersin ini mengeluarkan penyakit di dalam tubuh badan kita, sebab itu kita dituntut memuji dan berterima kasih kepada Allah S.W.T dengan mengucapkan “Alhamdulillah”, dan ianya tidak terhenti di situ, di mana, orang yang berdekatan dengan orang yang bersin itu, dan dia mendengar ucapan “Alhamdulillah tersebut, maka adalah dituntut untuk mendoakan “Yarhamukallah-Semoga Kamu Dirahmati Allah” dan diteruskan lagi dengan adab yang cukup baik, iaitu,sebagai balasan kepada doa tadi, orang yang bersin tadi, diajar oleh Nabi S.A.W untuk membalas budi orang yang mendoakan kepadanya tadi dengan doa “Yahdina wa Yahdikumullahu Wa Yuslihu Ba lakum- Semoga Dia(Allah) memberi hidayah kepada kami dan juga memberi hidayah kepada kamu dan memperbaikkan keadaan kamu”

Betapa indah dan berbudi bahasanya ajaran Islam. Saling mendoakan kebaikan sesama muslim, berlaku komunikasi spontan yang indah dan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan, ia adalah pendinding kepada segala wabak dan penyakit.

  1. Adalah menjadi sunnah Nabi S.A.W untuk makan dengan tangan. Secara tidak langsung, amalan membasuh tangan sebelum dan selepas makan adalah amalan yang penting,mendapat perhatian malah mendapat ganjaran disisi Allah. Malah, disebabkan amalan ini, ada sebahagian yang lebih teliti dan menjaga amalan membasuh tangan lebih dari waktu makan, kerana mereka menjaga alat yang akan mereka gunakan untuk makan. Setiap kali tangan tercemar atau kotor, mereka tidak akan melengah-lengahkan untuk mencuci tangan. Jadi dapat dikatakan bahawa, membasuh tangan bukanlah amalan yang baru dalam Islam. Sebaliknya, umat Islam kini lebih gemar memakai sudu dan garfu. Dengan tidak sengaja, mereka terlepas pandang amalan membasuh tangan. Dan kita tahu yang alatan besi harus disteril untuk menghilangkan kuman. Bagaimanakah kita? Adalah lebih malang sekiranya kita sengaja makan menggunakan sudu dengan alasan “malas nak basuh tangan”, Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun.
  2. Apabila bermulanya wabak, rata-rata penduduk Malaysia mula memakai mask sehingga ada sesetengah klinik/farmasi kehabisan stok. Penerimaan masyarakat amat memberangsangkan di mana anda tidak perlu takut akan dipandang jelik/pelik kerana memakai mask. Berbanding seorang muslimah yang ingin menjaga kehormatan dirinya dan menjaga dirinya dari fitnah dengan memakai niqab/purdah (penutup muka). Mereka bukan sahaja dipandang jelik, malah Presiden Perancis mengharamkannya. Ini belum disebutkan perkara yang hampir sama berlaku di United Kingdom satu masa dahulu, Jerman, Turki dan lain-lain tempat lagi yang berjuang untuk mempertahankan pegangan agama mereka. Lebih malang di tanah air tercinta, negara majoriti umat Islam, warganegaranya bebas untuk mengamalkan ajaran agama, untuk menutup rambut pun menjadi keberatan, inikan sukarela untuk memakai niqab/purdah.
  3. Kuarantin bukan la istilah baru dalam Islam.Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila kamu mendengar ada wabak di satu kawasan, janganlah kamu memasukinya, dan apabila kamu mendengar wabak berlaku di satu kawasan, kamu pula ada di sana, janganlah kamu keluar dari kawasan itu untuk melarikan diri.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Banyak lagi pengajaran yang dapat diambil, tetapi cukuplah sekadar ini saya nukilkan, yang penting kita sama-sama bermuhasabah, betapa jauhnya kita dari mengamalkan Islam. Adakah cukup kita Islam pada nama sekaligus memandang enteng amalan-amalan yang diajar oleh UtusanNya. Oleh itu saya menyeru,sama-sama kita mengambil pengajaran dari pandemik ini. Ini bukan konspirasi, senjata biologi, ia adalah ujian, tarbiah dan peringatan bagi yang ingin berfikir. Jangan menuduh sesiapa,cukuplah dengan mengatakan, ini adalah ketidak caknaan saya dan umat Islam dalam memenuhi amalan-amalan Islam sehingga Allah mendatangkan fitnah dan ujian bagi member tarbiah dan teguran kepada umat Islam.

Allah S.W.T berfirman:

25. dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) Yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang Yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah Bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Surah Al-Anfaal:25